Peguam Perlu Lancar Berhujah Dalam Bahasa Inggeris


Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, peguam yang mampu berhujah dalam bahasa Inggeris dengan baik di mahkamah dapat membantu para hakim menghasilkan penghakiman yang berkualiti. Beliau menegaskan, kelancaran berhujah dalam bahasa Inggeris adalah hasil kerja keras individu dan latihan yang betul tanpa mengira sama ada mereka mendapat pendidikan dari luar negara atau universiti tempatan.

Sehubungan itu, persepsi yang menyatakan peguam yang berkelulusan daripada unversiti luar negara lebih berkualiti daripada graduan tempatan adalah tidak benar dan perlu diubah. Arifin menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Kerajaan Malaysia diwakili oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datin Latifah Mohd. Tahar manakala UKM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.
MoU itu melakar sejarah kerana buat pertama kalinya badan kehakiman menjalin kerjasama dengan universiti tempatan di negara ini bagi mengembangkan aktiviti kedua-dua pihak dalam bidang perundangan, penyelidikan, latihan, pengajaran dan khidmat masyarakat.

MoU itu membolehkan Fakulti Undang-Undang UKM dan badan kehakiman bekerjasama antaranya dalam bentuk sangkutan industri apabila para graduan mendapat pendedahan langsung daripada hakim-hakim dan pegawai mahkamah secara berkala.

Sumber: Utusan Online

0 Response to "Peguam Perlu Lancar Berhujah Dalam Bahasa Inggeris"

Catat Ulasan