Sultan Nazrin Gesa Pengamal Undang-undang Kuasai Bahasa Inggeris


Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang sering menegaskan tentang kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, hari ini menggesa pengamal undang-undang menguasai bahasa global itu dengan fasih.

Titah baginda peringatan itu bagaimanapun tidak bermakna semangat patriotik terhadap negara telah menjadi tipis, sebaliknya dizahirkan berdasar keinsafan dan kebimbangan tentang kemungkinan bangsa akan tertinggal ke belakang dalam perlumbaan global yang semakin sengit.
Untuk itu bangsa wajiblah menyediakan payung untuk menghadapi hari panas dan hari hujan, bangsa wajib memperlengkapkan diri dengan instrumen untuk berupaya menyaingi warga dunia dengan semangat berani melangkah, berani merempuh ke hadapan, kerana perang tidak akan dimenangi secara membina benteng untuk bertahan.
Baginda bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen ke-21 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Titah Sultan Nazrin, pada masa sama, menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk mendaulat dan menghormati Bahasa Kebangsaan Negara, terutama ketika menganjurkan acara-acara rasmi di bawah kelolaan badan, institusi dan pertubuhan masing-masing.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah Malaysia terus menjadi kemunculan besar dalam pasaran global dengan penyertaannya dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) baru-baru ini, yang turut memberi banyak peluang kerjaya kepada mereka dalam profesion perundangan.

"Peningkatan aliran tawaran antara negara dilihat akan menjadi manfaat terbesar dalam TPPA dan manfaat utama bagi peguam pula akan datang daripada pelanggan bagi tawaran merentas sempadan yang kompleks," titahnya.

Oleh itu, baginda bertitah tahap penguasaan bahasa Inggeris dengan menggunakan bahasa dan istilah undang-undang merupakan kemahiran tidak ternilai yang boleh memainkan peranan dalam melindungi dan memajukan kepentingan negara dan perniagaan.

Sumber: Bernama

0 Response to "Sultan Nazrin Gesa Pengamal Undang-undang Kuasai Bahasa Inggeris"

Catat Ulasan