Bazaar Ramadhan Asia City



Asia City terletak di tengah-tengah Bandar Kota Kinabalu dan bersebelahan dengan Kampung Air. Di seberang jalan pula adalah pusat membeli belah paling popular di KK iaitu, Centre Point Sabah (CPS) dan Api-Api Centre. Kompleks Asia City terkenal dengan Pasar Tani yang dijalankan pada setiap pagi Rabu. Di situlah PR suka membeli belacan papar dan kuih cincin serta sayur-sayuran yang segar bugar. Di bulan Ramadhan ini pula, kawasan ini sesak di sebelah petang dengan  Bazaar Ramadhan. Ia bermula kira-kira jam 2 petang dan menjelang pukul 4, pengunjung menjadi semakin ramai dan kawasan menjadi semakin sesak.

Bazaar Ramadhan Asia City adalah salah satu Bazaar Ramadhan paling ramai pengunjung di Kota Kinabalu. Ini kerana ramai pekerja-pekerja di kawasan sekitar mengambil kesempatan untuk membeli juadah berbuka dan sahur selepas tamat waktu pejabat. Harga yang dikenakan oleh para peniaga juga tidak mahal, manakala makanan dan lauk pauk yang dijual juga amat lazat dan menyelerakan.

Antara yang menjadi tarikan utama termasuklah murtabak, roti John, kelupis, ayam percik, kuih-muih, ikan bakar, asam pedas, rending daging, sate dan banyak lagi. PR tempelkan sahaja gambar-gambar di sini buat tatapan anda. Harap jangan ada yang rasa hendak berbuka puasa pula. Sabar ya. Sabar itu separuh dari iman...



Jika anda dari kawasan lain dan mahu ke Bazaar Ramadhan Asia City, masaalah utama yang anda akan handapi adalah mencari parkir. Kalau bernasib baik, anda akan jumpalah parkir di kawasan berdekatan. Jika tidak, parkir lah di Kompleks Asia City ataupun di CPS. Berhati-hati bila parkir di kawasan parkir di bawah Kompleks Asia City – ada yang mahal (RM5 sekali parkir). Kalau mahu murah, naik ke tingkat 5 Kompleks Asia City untuk parkir. Ada lift untuk anda turun dan pergi ke Bazaar Ramadhan Asia City.

- Papa Roq