Dua Lorong, Tiga Lorong... Sama Sahaja!

Baru-baru ini PR melalui satu jalanraya yang telah dinaiktarafkan di bandar KK. Jalan ini sebelumnya adalah jalan 1 hala yang mempunyai dua lorong. Akan tetapi memandangkan kesesakan yang sering berlaku di kawasan ini, maka pihak berkuasa tempatan telah menaiktarafkannya ke tiga lorong. Ia diharapkan dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di kawasan itu.

Namun semasa melalui kawasan itu, PR tidak merasakan sebarang perubahan ketara dari segi kesesakkan jalan raya di sana. Kenderaan masih berbaris "bumper to bumper" di bawah sinaran matahari yang terik dan pergerakan amatlah terbatas sekali. Ia buat PR termenung sebentar dan cuba mengingati apa yang berlaku sebelum jalan ini menjadi tiga lorong.

Setelah habis berfikir barulah, PR teringat yang sebelum ini bahu jalan adalah agak luas - cukup untuk laluan satu kenderaan lagi. Maka, banyak kereta yang mengambil jalan mudah dengan "jumping que" menggunakan bahu jalan. Oleh itu, ia tidak ubah seperti jalan raya tiga lorong. Cuma di hari-hari tertentu, pihak JPJ atau Polis Trafik akan berada di sana dan menyaman mana-mana pemandu yang "jumping que". Namun, mereka ini tidak pernah serik dan hampir setiap hari bahu jalan akan digunakan oleh pemandu-pemandu yang ingin cepat dan tidak sanggup berbaris.

Apabila jalan telah dinaiktarafkan, bahu jalan juga menjadi amat kecil untuk pemandu menggunakkannya. Atas sebab itu tiadalah perubahan ketara yang dapat dirasakan di jalan raya ini. Mungkin lebih sesak lagi kerana saban hari, ada sahaja kenderaan baru masuk dan menambahkan kuantiti pengguna jalan raya di sana.

- Papa Roq